Saturday, December 31, 2011

Bisikan Syaitan

Naim pelajar tingkatan 5 di sebuah Sekolah Menengah Agama Persekutuan. Dia seorang yang tinggi ilmu agama dan mempunyai politik yang agak stabil di sekolah apatah lagi dengan thiqahnya yang tinggi. Apabila ustaz tiada di antara Magrib dan Isyak, dia akan ke hadapan. Sama ada memberi tazkirah atau mengepalai bacaan Al-Mathurat. Pergaulan dengan perempuan dijaga dengan begitu sempurna, jika mesyuarat terpaksa bercampur lelaki dan perempuan, sama sekali dia tidak akan mengangkat pandangannya.

Semua orang menghormatinya, baik yang junior mahupun senior, baik yang laki-laki mahupun perempuan. Jika ada senior yang tengah membuli junior, jika Naim ada di tempat kejadian, proses buli itu akan bertukar menjadi majlis maaf-bermaafan. Inilah ‘kuasa’ Naim di sekolahnya.

Dia menjadi contoh teladan bagi setiap pelajar sekolahnya. Setiap mata-mata yang wujud di sekolah itu selalu memerhatikan pergerakannya dan mengambilnya sebagai contoh kehidupan yang paling sempurna. Dek kerana mengetahui banyak mata memerhatikannya, dia betul-betul menjaga akhlaknya. Bukan kerana manusia tetapi kerana Allah. Niatnya hanya satu, supaya Islam itu terpancar dari dirinya. Hebatnya dia dalam menjaga akhlaknya, tidak ada seorang pun di dalam sekolahnya melainkan teman sebiliknya yang pernah melihat kulit badannya walaupun dia seringkali bermandi-manda di kolah berhampiran dengan surau.

Sudah pasti, ramai perempuan yang menggilainya walaupun dia tidak mengetahui hal itu. Di hadapannya semua baik, tunduk dengan penuh tawaduknya tapi berlalunya Naim dari tempat itu,mula lah mulut mereka bergerak memuji dan mengumpat tentang Naim. Bukan sahaja pelajar biasa yang meminati Naim tapi ada juga pelajar-pelajar perempuan yang memegang tampuk kepimpinan sekolah yang meminatinya, cuma tidak disuarakan, bimbang ditegur dan yang paling mereka takuti,takut cinta mereka ditolak. Tambahan pula Naim banyak kali mengingatkan pelajar-pelajar supaya menjauhi zina hati, zina yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasa tatkala dia memberi tazkirah.


Namun, hatta Nabi Sulaiman yang menjadi raja dunia itupun diuji Allah, inikan pula seorang pelajar sekolah agama yang ilmu agamanya masih bertatih, bahasa arabnya masih merangkak-rangkak. Dia diuji dengan kehadiran seorang pelajar perempuan yang baru pindah ke sekolahnya. Namanya Nisa, Khairun Nisa.Orangnya putih,bertahi lalat di pipi sebelah kanan sedangkan Naim di sebelah kiri.

“Ana Khairun Nisa, sila beri tunjuk ajar.” Nisa memperkenalkan dirinya.

Dalam mahu yang bercampur dengan iman di dalam hatinya, Naim melihat Nisa dengan sipi-sipi matanya sahaja. Ingin dia merenung Nisa dengan lebih tajam tapi iman di dadanya masih kukuh bak tembok besar cina.

“Cantiknya,” hati Naim bermonolog.

Tidak sampai sekelip matapun,imannya menampar hatinya. Dia terus sedar dari diulik oleh syaitan dan lantas dia beristighfar, memohon ampun daripada Tuhan dek kerana melakukan zina, zina hati. Ingin sahaja matanya mengeluarkan bintik-bintik mutiara tanda sesalnya dia akan dosanya namun selaput kaca di matanya masih tebal. Mungkin penyesalannya masih belum kuat untuk memecahkan selaput kaca itu.

Saat berganti saat, hari berganti hari, Nisa pun terpilih untuk menjadi salah seorang AJK Surau sekolah dek kerana dia asyik ke surau berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain. Subuhnya di surau, Dhuhanya di surau,Zohornya di surau, Asar, Magrib dan Isyaknya di surau. Seringkali Naim terdengar suara wanita sedang membaca Al-Quran di balik tabir biru yang memisahkan lelaki dan perempuan, ingin dia mengintai siapakah gerangan hamba Allah itu tapi iman masih tebal menyelaput hati nafsunya. Ditakdirkan Allah,suatu hari dia ternampak Nisa masuk ke surau perempuan, maka tahulah dia bahawa suara perempuan yang didengar selama ini ialah suara Nisa.

Sedang dia sedang bersendirian berdoa selepas solat sunat Dhuha,dia terdengar satu suara perempuan meminta tolong dari balik tabir.Suara perempuan itu sayup-sayup.

Imannya bersuara.
“Ish..Nak tolong ke tak..Kalo aku masok belah pompuan,bukanke khalwat..ye la,mane ade orang…aku dan die je..takley,aku mesti bagitau ustaz hal ni,biar ustaz tolong..”

Tapi 1 tetap kalah kepada 2. Imannya kalah dengan nafsu dan syaitan yang menggodanya.

Akal mula campur tangan.
“Kalo aku tak tolong,maybe…em…aku intai dulu la,kalo serius aku tolong segera kalo tak,aku lapor kat ustaz,”

Tabir biru itupun diselaknya dan dia mendapati jari Nisa terkepit di almari Quran. Walaupun sakit, Nisa tetap menahannya,bimbang maruahnya jatuh di hadapan seorang ketua badan Agama sekolahnya. Dan ketika itulah makhluk durjana yang bernama syaitan mula mengambil peranan. Disuntiknya bius-bius dosa ke dalam hati Naim supaya Naim tidak terasa melakukan dosa.

Imannya bersuara.
“Em..Aku kene lapor kat ustat ke?Patot ke aku tolong?Bley ke aku pegang tangan die?Dose..”

Akal yang dibalut dengan nafsunya membuat pertimbangan.
“Ah,darurat,darurat.Even babi pun boleh makan kalo darurat.”

Hatinya membuat keputusan sambil disahkan oleh Syaitan.
“Betul juga,ok,aku tolong.”

Dia memberi arahan kepada Nisa.
“Er,Nisa tahan ek,kejap saya tarik pintu almari ni.”

Suara Nisa bagaikan bunyi ikan bersuara,entah dengar,entah tidak.
“…ok…”

Pintu almari berjaya dibuka, jari Nisa terlepas dari kepitan almari. Merah bak biji saga jarinya, hampir-hampir saja berdarah tapi kulitnya masih kuat menahan segala isi cecair daripada keluar. Tiba-tiba, Naim tanpa berfikir panjang memegang jari Nisa. Niatnya hanya satu,ingin melihat keadaan jari Nisa. Tapi dengan pantas Nisa menariknya dan berlari turun daripada surau dan menuju ke kelas.

Dia berdoa, menangis menyesal dosa yang baru sahaja dibuatnya sebentar tadi.
“Ya Allah,apa aku telah buat ni…Aku bukan sengaja melakukannya Ya Allah..Ampunilah aku..”

Habis sahaja air matanya kering, hatinya diketuk dengan pelbagai soalan. Bukan soalan agama tetapi soal maruah dan Thiqahnya. Bagaimana jika Nisa menceritakan hal tadi kepada kawan-kawannya? Bagaimana kalau cerita itu bocor kepada junior-juniornya? Kalau ustaz dapat tahu, pasti dia akan dilucutkan dari segala jawatan yang disandangnya sekarang. Dia akan dicemuh dan dihina. Dia tidak akan dapat peluang ke depan lagi sewaktu ketiadaan ustaz. Dia bimbang bercampur keliru.

Lamunannya tersentak apabila satu suara memberi salam untuk masuk ke surau. Peluh-peluh resah dan gelisah mengalir di pipi kanannya, dia masih di dalam bahagian surau wanita. Apa yang harus dijawab jika ditanya. Ya,menipu. Menipu adalah jalan penyelesaian yang terbaik buatnya sekarang. Lagipun dia cam suara itu,itu suara Khairul, teman sebiliknya. Baginya tidaklah berdosa menipu teman sebilik yang akrab dengannya.

“Eh,Im.Ape ko wat lam surau pompuan tu?”
Soal Khairul, kelihatan di mukanya perasaan ingin tahu.

“Eh,takde ape-ape la.Aku just check samada quran cukup tak belah pompuan.” jawab Naim.

“Owh,baguslah wat kerja baik atas rumah Allah ni.Insya Allah ko dapat pahala,taknak share ngan aku?”gurau Khairul.

Gurauan yang pada dasarnya kelihatan seperti satu lawak bodoh tetapi ada perkataan-perkataan yang menghantui fikiran Naim iaitu ‘RUMAH ALLAH’.

Ya,di atas rumah Allah inilah Naim melakukan maksiat.

Di atas rumah Allah inilah Naim menipu.

Semuanya di atas rumah ini, rumah kepunyaan Tuan segala tuan.

Tiba-tiba dia menangis tetapi bukanlah menangis seperti anak kecil menangis. Hanya air mata sahaja mengalir di atas pipinya yang sedikit cengkung. Khairul terkejut melihat Naim menangis dan bertanya sebab Naim menangis tetapi Naim hanya berdiam. Khairul membuat andaian sendiri, pada pendapatnya mungkin Naim menangis kerana bertaubat. Lantas perasaan cemburu mula menguasai dirinya.Inilah dia tanda orang beriman,pantang melihat orang lebih dekat dengan Kecintaan nya,pasti dia cemburu.

“Eh Im,kelas da nak start. Jom!”Ajak Khairul.

“Ok,”balas Naim.

Pelajarannya selepas waktu rehat tadi tiada makna. Sepatah kata yang keluar dari mulut cikgu-cikgunya tidak satupun diingati atau diberi perhatian. Matanya tajam memandang ke arah papan hijau di hadapan kelas tetapi fikiran jauh ke laut mencari ketenangan. Jasadnya wujud tapi ruh akalnya tiada. Bukan sibuk memikirkan penyelesaian tetapi sibuk mencari masalah-masalah yang akan timbul jika cerita tadi diketahui umum.

Rupa-rupanya, bukan Naim sahaja yang berjasad tanpa akal, begitu juga dengan Nisa. Cuma ada kelainannya. Nisa sama sekali tidak bimbang tentang nasibnya jika cerita itu bocor atau ada mata yang terpandang peristiwa tadi tetapi kepalanya sibuk memikirkan tentang Naim. Kedudukannya di dalam kelas menyebabkan matanya tidak berkelip memandang Naim dari belakang. Baginya, alangkah bertuah sesiapa yang dapat menawan hati Naim. Kesopanan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Naim sebentar tadi, betul-betul memikat hati suci si gadis ini. Begitulah nasib si Abid tanpa Ilmu. Pantang ditiup angin, pasti dia rebah.

Tangan mula mengambil peranan, diambilnya pen merah jambu kesukaannya dan diambil sehelai kertas memo yang berada di dalam laci mejanya. Sepucuk surat ditulis sebagai tanda terima kasih buat si jejaka budiman. Surat sahaja tidak cukup, dibelinya sekotak air laici yang berharga 80sen dengan duit seringgit. Bakinya dibeli sebatang choki-choki,juga sebagai hadiah.

Seperti kebiasaannya, Naim datang ke kelas seawal mungkin. Selesai sahaja solat Zohor berjemaah dan makan di dewan makan, tanpa menyalin pakaian,dia terus ke kelas. Baginya masa itu emas dan tidak boleh dibazirkan walaupun sesaat.Masih banyak pelajaran tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang belum dikuasainya.Tabiatnya ini menjadi ikutan sesetangah pelajar yang lain.Pabila dia melangkah kaki ke dalam kelas,alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat sepucuk kertas yang dilipat 2 dan ditindih dengan sekotak air laici dan sebatang choki-choki.

Isi suratnya:

Salam..

Terima kasih kerana tolong ana..

Kalau anta takde tadi,tatau la macamana ana nak buat..

Jangan bimbang,ana tidak akan membocorkan hal tadi kepada orang lain..

Ukhwah Fillah,

Nisa’

Sambil menghirup air laici dalam kotak itu, dia tersenyum. Dengan mengoyak plastik depan choki-choki, dia membetulkan kerusinya, mempersiapkan dirinya untuk menulis surat balas kepada Nisa. Sebaik sahaja pen nya ingin menyentuh dada kertas putih berbelang biru itu, dia terfikir alangkah bagusnya kalau dia mempunyai pen berwarna-warni supaya Nisa tidak jemu membacanya. Mata hitamnya terpandang bekas pensil kawan di hadapannya. Tidak pernah dia menyentuh barang orang lain tanpa izin tapi kali ini tidak lagi. Entah kawannya bagi atau tidak,dia terus menggunanya atas alasan yang sangat biasa, “standardla,kawan..” Maka bermulalah kisah cinta Naim,Si Budak Agama. Balas dia:

Salam,

Terima kasih atas minuman dan makanan yang saudari bagi,

Ana tidak buat apa-apa melainkan untuk menolong insan dalam kesusahan,

Bukankah Islam menyuruh kita menolong orang dalam kesusahan?

Moga Allah meredhaai kita,

Dan,salam perkenalan.Ana Naim.

Naim

Diselitnya surat ini ke dalam buku latihan Nisa’ dengan harapan yang membulat. Maka, Naim dan Nisa mula berbalasan surat.Walaupun pada awalnya,kedua-dua merasa kekok dek kerana dua-dua mempunyai tapak agama yang boleh dikatakan kukuh. Ada juga Nisa bertanya di dalam suratnya, Pening juga Naim dibuatnya namun disejukkan hatinya dan hati Nisa dengan jawapan,
“Kita berbalas surat ni,tak salah ke di sisi Islam?”
“Takpe,kita dating tak pernah. Bertentangan mata jarang sekali. Kita Ukhwah Fillah.Kita berhubungan inipun semata-mata kerana Allah.Kita niat untuk berkahwin,bukan untuk buat maksiat.”

Nisa membalas,
“bagaimana pula dengan zina hati?”
Lalu Naim membalas,
“mana ada zina hati. Zina hati tu ulamak yang buat dengan tujuan umat Islam tidak mendekati zina. Rasulullah tak kata pun. Lagipun cinta ini fitrah, masakan Allah zalim mengharamkan apa-apa fitrah manusia?”
Hilang sudah prinsip yang dipegangnya selama ini.

Walaupun Nisa tidak berpuas hati dengan jawapan Naim,namun dek kerana cintanya dia kepada Naim,di’iya’kan sahaja ‘fatwa’ kekasihnya itu.

Naim dapat mengesan rasa sangsi kekasih hatinya melalui gaya bahasa dan cara penulisan yang agak sedikit berbeda ,lalu dia membalas, Terdiam Nisa’ membaca ‘fatwa’ baru buah hatinya itu. Ingin dia membantah tetapi bimbang dianggap meragui Quran. Mindsetnya yang mengatakan buah hatinya mempunyai ilmu setinggi langit itu menyebabkan dia semakin yakin dengan ‘fatwa-fatwa’ itu.
“Nisa’,bukankah Allah berfirman bahawa perempuan baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik?Ana yakin anti baik dan ana pun yakin yang anti rasa ana baik. Tidak sekali Allah kata isteri yang baik untuk suami yang baik tetapi Allah kata perempuan dan lelaki bermakna belum berkahwin pun takpa. Anti meragui Quran?”

Thiqah bukanlah kerja manusia. Pengaruh bukanlah kawalan manusia. Hati manusia tidak boleh dibeli dengan mata wang, kesetian tidak boleh diperdangkan dengan kemewahan. Semuanya hak mutlak Allah,Tuhan yang membolak balikkan hati manusia. Jika Dia menghendaki seseorang itu mulia, maka mulialah orang itu walaupun pada awalnya dia hanya seorang anak yatim piatu. Jika Dia menghendaki seseorang itu hina, maka hinalah orang itu di atas tahtanya sendiri. Semuanya bukan dengan tiba-tiba tetapi ada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Nya yang diberi nama Sunnatullah.

Kepercayaan manusia terhadap seseorang itu akan datang bila dia mendekatkan diri dengan Tuhannya. Kesetiaan seseorang terhadapnya menjadi lebih solid pabila dia menyempurnakan apa yang dilafaznya.Inilah hukum yang ditetapkan Ilahi.

Makin hari, pengaruh Naim semakin jatuh. Kawan-kawan dan junior-juniornya semakin bosan dengannya. Sebab? Tiada. Jelas sekali soal hati, Dia yang punya. Hidup Naim juga menjadi tidak tentu hala. Dulu dia berbaju ketika mandi di kolah,kini tidak lagi. Pertimbangan akal menjadi semakin kurang,mungkin terlampau tebal kabus dosa yang menutupi hatinya.thiqahnya kian jatuh. Terkadang dia dimarahi oleh cikgu-cikgu kerana prestasinya yang kian merosot.

Dia merasakan tekanan semakin bertambah.Tiada lagi sakinah yang dianugerahkan kepadanya dulu. Tiada lagi senyuman tatkala kesusahan. Tiada lagi nasihat-nasihat penenang yang mampu diberi pabila adik-adik datang meminta nasihat.

Jika dulu dia mampu mengambil tugasan luar walaupun ketika peperiksaan bulanan dijalankan, kini tidak lagi. Bukan peperiksaan pun dia tidak dapat mengatur masa dengan baik. 24 jam baginya tidak cukup. Masa untuk dia belajar, masa untuk dia berpersatuan dan masa untuk Nisa. Pernah dia berdoa meminta diberi 1 jam lebih tapi dia tidak sedar bahawa jika dia diberi 100 jam lebih pun, pasti tidak mencukupi.

Khairul merasa hairan dengan perubahan sikap kawan sebiliknya itu. Kadang-kadang tersenyum seorang diri,kadang-kadang masam dan kadang-kadang seperti bercakap seorang diri. Naim seakan-akan gila. Betul Naim gila,gila bayang. Panahan syaitan benar-benar telah menusuk ke dalam hatinya, membuat satu lohong iman di dalam hatinya. Khairul cuba bertanya mengapa dia seakan-akan berubah tapi dimarahnya Khairul,

“kubur lain-lain,syurga lain-lain,neraka pun lain-lain!”

“Betul,sebab lain-lain la aku nak tanya ko.Mane la taw ko ade masalah,bimbang takut di sana pun ko ade masalah.”Ujar Khairul.

“Ko taw kan firman Allah, kuu anfusakum wa ahli kum naara?”Soal Naim.

“jagalah diri kamu dan ahli keluarga mu daripada api neraka..jadi?”Jawab Khairul.

“Jadi?!Aku ahli keluarga kau ke?!”Marah Naim lagi.

Khairul terdiam sedar bahawa ilmunya tidaklah setanding dengan Naim. Perasaan kesal timbul dalam hatinya atas tindakan sahabatnya sebentar tadi. Namun,atas dasar silatur rahmi kerana Allah,dia nekad untuk mengetahui punca Naim berubah. Baginya pokok tidak akan bergoyang jika beruk tiada di dalamnya. Walaubagaimanapun,Khairul tidaklah selicik Naim, dia buntu apabila memikirkan adakah tindakannya selari dengan Islam atau berserenjang dengan Islam. Lalu disampaikan isi hatinya kepada Ustaz Faidi, Mentornya.

“Er Ustaz,saya ada masalah nak bincang dengan ustaz.”Bagitahu Khairul.

“Ma?”Soal Ustaz balik.

“Ustaz,saya bimbang dengan Naim,teman sebilik saya. Perangainya seperti sudah berubah. Dia macam bukan dia..Er, tataw nak terang macamana..”Terang Khairul.

“Na’am,ana pun perasan perubahan pada Naim. Dia dah bukan macam dia yang dulu. Banyak perubahannya.”Tambah Ustaz.

“Saya rasa,ada yang disembunyikan olehnya Ustaz dan saya rasa,ada baiknya saya menyiasat..Bolehkah ustaz?”Soal Khairul.

“Dalam Islam,mengintai mencari kesalahan orang ini diistilahkan sebagai Al-Tajassus. Hukumnya asalnya haram tapi boleh berubah menjadi harus pabila diperlukan. Dan dalam keadaan ni,hukumnya harus.”Terang ustaz.

Penyiasatan bermula dan penyiasatan Khairul bertemu dengan jalan buntu.Tiada sebarang benda buruk yang dilakukan Naim.Namun, pabila Allah menghendaki yang gelap menjadi terang,dihilangkan bintang dan diganti dengan matahari. Sepandai-pandai tupai melompat,akhirnya jatuh juga ke tanah.Akhirnya surat yang disimpan selama ini dijumpai oleh Khairul ketika dia sedang membersihkan surau. Rupa-rupanya,surat-surat yang dihantar oleh Nisa’,selama ini disimpan di balik almari al-quran di hadapan tempat imam solat.Terkesima Khairul dibuatnya apatah lagi ketika membaca perkataan-perkataan yang telah berlaku evolusi,daripada ‘ana’, ‘anti’, kini ‘sayang’, ‘ayang’.Daripada ‘ukhwah Fillah’ kini ‘I luv U’.

Khairul tidak salah lagi,surat itu kepunyaan Naim. Tertera nama Naim di atas belah kiri surat, ‘Buat Naim ku sayang’. Dalam tidak sedar, Khairul menangis. Dia betul-betul sedih membaca surat-surat itu,bukan kerana Nisa yang dalam pemerhatiannya juga dirampas orang tetapi sedih bagi pihak Naim. Terngia-ngia di telinganya bacaan ayat 2 dan 3 surah As-Saf yang selalu dibaca oleh Naim ketika menjadi Imam Magrib. Mengenangkan maksud ayat-ayat tersebut yang secara ringkasnya membari maksud melarang orang beriman daripada memberi nasihat tentang apa yang mereka perbuatkan, Khairul terus menangis.

Dari luar surau, kelihatan Naim yang baru sahaja sampai di surau. Tanpa berfikir tentang benda lain, Naim terus memandang ke arah tempat penyimpanan ‘harta karun’nya itu. Terperanjat dia apabila mendapati Khairul sedang memegang ‘harta-harta karung’nya itu dan tanpa berfikir panjang,dia berlari ke arah Khairul. Sekali lagi dia melanggar prinsip yang diajar kepada orang-orang lain supaya menghormati rumah Allah, jangan berlari-lari di atasnya. Dia lupa bahawa dia pernah melarang kawan-kawannya yang bergurau di dalam rumah Allah, katanya bahawa berlari di atas rumah Allah seperti berlari di atas perut ibu sendiri yang sedang sarat mengandung. Entah benar,entah tidak.

Ditolaknya Khairul ketepi dan dirampasnya semua surat-surat yang dipegang oleh Khairul.

“Woi,ape ko buat ni?!!!”Marah Naim.

“Woi? Mana pergi bahasa mu wahai kawan?Mana pergi sopan santun mu wahai kawan?Mana pergi dirimu yang dulu wahai Naim?”Soal Khairul sambil mengesat air mata yang sedang mengalir.Naim terdiam.

“Rupanya,inilah masalah mu wahai kawan.Tiada ku sangka dirimu sedemikian,wahai kawan.Bagiku engkau lah model, engkaulah insan sempurna yang memancarkan sinar Islam ke sekolah ini.Kini kau sirna wahai kawan,kau mutiara yang kian sirna!”Marah Khairul.

“Ah,kau peduli ape!”Naim bersuara walaupun hatinya terkesan dengan kata-kata Khairul.

“Jujur aku tanya,kau couple Im?”Soal Khairul.

“Aku couple ke,aku tak couple ke,tu soal aku la.Dosa biar aku tanggung sendiri!Jangan risau la,aku takkan heret kau masuk neraka sama dengan aku!” Lantang sungguh Naim berbicara.Dia lupa di atas lantai rumah siapakah yang dia pijak sekarang.

Khairul berlalu dari tempat itu dengan penuh penyesalan. Ingin dia salahkan takdir kerana menemukan dia dengan seorang kawan yang hipokrit seperti Naim namun dia akur dengan qada’ dan qadar Ilahi.

Semasa mereka bekelahi sebentar tadi,mereka bukan berdua. Di balik tabir biru itu ada 3 pasang telinga yang mendengarnya secara tidak sengaja. 3 orang pelajar junior perempuan baru sahaja selesai mendirikan solat sunat Dhuha mendengar setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut mereka berdua.

Malang si Naim. 3 orang pelajar itu bukanlah pelajar yang diam sifatnya. Dihebahkan berita Naim berpacaran ke setiap juzuk sekolah sehingga para cikgu pun tahu mengenainya. Ke mana sahaja Naim pergi,pasti ada mata-mata yang memandangnya dengan hujung-hujung mata dan sebaik sahaja Naim pergi, mulalah syaitan berpesta dengan dosa mengumpat. Bertambah malang bagi Naim,dia tidak tahu bahawa semua orang telah tahu dia berpacaran. Tazkirah yang seringkali ditunggu oleh semua pelajar kini dicemuh,dihina dan dikutuk oleh semua yang mendengarnya kecuali kekasih hatinya, Nisa.

Khairul, si sahabat setia ini tidak senang mendengar orang mengumpat sahabat sejatinya. Akhirnya dia berkeputusan untuk menyampaikan sendiri kepada Naim bahawa semua orang sedang mencelanya.

“Im,senanye..Sume orang da taw ko couple..”Bicara Khairul secara perlahan.

“Hah?!” Terkejut Naim.Apa yang ditakutinya kini menjadi realiti.

“Ko bagitaw orang?!!!!”Soal Naim.

“Eh,tak..Aku pun tak taw macamana bley..”

“Ah!! Inilah kawan! Kawan makan kawan! Aku tau dari dulu lagi ko dengki ngan aku, ko dengki ngan jawatan aku dapat!Aku taw kau sengaja nak jatuhkan aku!”Naim memotong dengan lajunya,melebihi had laju yang sepatutnya.

“Demi Allah..”

“Jangan main dengan sumpah! Berani sebut nama Allah dalam wat dosa,dasar…”Sekali lagi Naim memotong,laju benar susun katanya.

“Aku menyesal bagitahu kau,aku ingat kau la kawan aku yang sejati rupa-rupa..”

“Rupa-rupa apa?!Musuh?!”Naim marah lagi.

“Na’am! Musuh Allah,musuh agama Allah! Ko nasihat orang jangan bercouple,jangan zina hati, jangan itu,jangan ini tapi dalam masa sama kau buat! Ko lupa ayat-ayat surah As-Saf yang ko selalu baca tyme jadi Imam? Ko lupa?! Meh aku ingatkan ko! Wahai orang beriman jangan kau melarang apa yang engkau kerjakan,s ungguh besar kemurkaan Allah pada engkau! Ya,pada engkau Naim!Allah memurkai mu dan layaknya aku membenci mu!” Balas Khairul dengan penuh perasaan kecewa.Lalu dia meninggalkan bilik dengan menarik tombol pintu dengan sekuat-kuatnya.

Keheningan dan kesunyian malam itu dipecahkan dengan dentuman pintu bilik khas, bilik Naim dan Khairul. Di sekolah itu mereka sahaja yang diberi keistimewaan untuk tinggal di bilik dan orang lain di dorm, memandangkan mereka ialah ketua dan penolong ketua pelajar di sekolah itu. Pelajar-pelajar senior yang mendengarnya keluar dengan berlari, hati mereka ingin benar mengetahui apa yang berlaku namun kelihatan hanya Khairul sedang berjalan menuju ke tandas. Berbeza pula dengan pelajar junior,mereka dengan lajunya menutup lampu dan berpura-pura tidur,bimbang nama mereka dipanggil untuk dijadikan ‘lauk’ para senior malam itu.

Kata-kata Khairul benar-benar menikam qalbu terus ke akal. Tersentak Naim buat seketika. Mimpi ngeri dalam hidupnya baru bermula. Tidak,dia baru sedar yang dia dalam mimpi ngeri. Tindakan segera wajib diambilnya jika tidak thiqahnya akan terus merudum jatuh menyembah bumi.Jika dia terus begini,tiada lagi ‘Abg Naim Si Budak Surau’ atau gelaran ‘Wali Naim’. Tiada lagi kesetiaan,tiada lagi kepatuhan dan tiada lagi insan yang akan menghormatinya menggunakan hati mereka. Apa yang ada hanya lakonan. Buah di luar, duri di dalam.

Dikuatkan hati,diringankan tangan untuk menulis surat terakhir buat kekasih hatinya. Tapi ternyata dia gagal. Semalaman dia tidak lena,pening memikirkan jalan penyelesaian yang pasti tiada jawapannya. Akibatnya,dia tertidur di dalam kelas.

“Naim,bangun!”Arah Cikgu Marlina, cikgu matematik tambahan yang terkenal dengan garang dan keceluparan mulutnya.

Naim terjaga dari lenanya dan terus berdiri.

“Apa dah jadi dengan awak ni?Dalam kelas tidur,luar kelas bercinta!”Marah Cikgu Marlina.

Awan hitam kini melitupi Naim,dia merasa tersangat malu. Bukan arang yang diconteng ke mukanya sekarang tetapi najis,najis manusia,manusia yang bernama Naim, najisnya sendiri. Tiada kata dapat dibalas, dia hanya tunduk terdiam.

Naim bijak dalam beragama tapi dia gagal dalam berpolitik.Dia tidak sedar akan tindakan untuk tunduk dan diam itu bukanlah satu tindakan yang betul dalam berpolitik. Tindakannya itu sepeti dia mengakui kesalahannya dan dalam erti kata lain,dia mengakui bahawa dia sedang bercinta.

Marah Cikgu Marlina tadi bukan sahaja menampar Naim tapi terbias juga kepada pasangannya, Nisa. Nisa tunduk,akur dengan kesilapannya. Kini,dia sedar bahawa dia telah menarik Naim ke lembah kebinasaan. Surat pertamanya,surat tanda terima kasih itu merupakan surat jemputan ke neraka. Dia sudah sedar segala-galanya. Surat,hadiah dan fatwa-fatwa Naim itu merupakan alatan-alatan yang dibuat oleh syaitan. Nampak seperti sesuai dengan syarak tapi penuh dengan unsur kemaksiatan, tidak dapat dilihat oleh mata kasar,hanya mata hati dapat mengesannya.
Cara yang terbaik untuk Nisa sekarang,menulis surat terakhir,surat tanda perpisahan, surat yang akan meniupkan kembali segala kebaikan dan menutup segala keburukan. Dengan nekad yang kuat di dalam hati,keyakinan yang tinggi terhadap Islam,Nisa memegang pen merah jambu kesayangannya dan mula menulis.

Salam sayang,

Sudah hampir 5 bulan kita bercouple,

Ayang percaya yang sayang sudah tahu isi hati ayang,

Ayang benar-benar menyintai sayang..

Sepenuh jiwa dan raga ayang..

Namun,ayang sedar satu benda,benda yang mungkin buat kita menangis,

Dalam kita asyik mengejar cinta Ilahi bersama-sama,kita telah balutinya dengan cinta yang penuh dengan kepalsuan.Cinta manusia yang tidak mempunyai dasar yang kukuh.Kita selesakan diri kita dengan menyatakan cinta kita berdasarkan iman tapi dengan iman itu kita melakukan maksiat.Benar kita tidak pernah berjumpa,berdating seperti remaja lain tapi maksiat bukan itu sahaja.

Ayang yakin dengan kata-kata sayang bahawa tiada hadis yang menyatakan zina hati tapi ayang baru perasan bahwa ayat la taqrabu zina itu menggunakan fail qaraba yakni perbuatan mendekatkan dengan hati.Maknanya,dengan hati pun tidak boleh dekati zina.

Ayang bukanlah membuat fatwa atau apa-apa ajaran tetapi itulah yang ayang percaya.Tindakan kita ini tidak lain tidak bukan,membersihkan najis dengan air kencing sendiri.Najis tidak bersih tetapi bertambah kotor,mengalir dan terus mengalir mengotori semua tempat.

Sayang..Ayang percaya pada jodoh.Jika kita dijodohkan bersama,Insya Allah,kita akan bersama.Tidak perlu bercouple atau berkenalan,jika Allah nak kita bersama,insya Allah kita bersama.

Percayalah,itu hak Allah.Dia boleh buat apa yang dia suka.Dia yang menghidupkan Isa tanpa bapa,menyejukkan api yang membakar nabi Ibrahim,memutuskan air penghalang nabi Musa dan menghidupkan Sam bin Nuh buat nabi Isa.Jika semua perkara ganjil itu Allah yang buat,apatah lagi soal jodoh yang merupakan soal kebiasaan.

Semoga apa yang kita bina selama ini diampuni Allah.

Ukhwah Fillah.

Nisa

Tertitis setitik dua air matanya di atas surat itu tapi cepat-cepat dilapkan supaya tulisan tidak hilang.Sengaja dia tidak mengambil kertas baru dan menulisnya kembali supaya Naim faham isyarat yang cuba diberinya.Hati Nisa tidak mahu tapi disebabkan imannya, agama didahulukan. Kemahuan ditolak ketepi walaupun perit menolaknya.

Surat keramat diletakkan di atas meja Naim, kali ini tiada lagi air laici dan tiada lagi choki-choki,surat semata-mata. Naim membacanya dan dia telah bersedia dengan keadaan ini. Tiada lagi air mata,tiada lagi tangisan tiada lagi kedukaan. Kisah cintanya jelas bukanlah cinta yang menghasilkan CINTA tapi cinta yang berpaksikan maksiat semata-mata.

Tangannya pantas mencari kertas dan pen untuk membalas surat terakhir ini.Tengah dia berfikir ayat-ayat cinta terakhir, hidayah Tuhan sampai. Cahaya yang akan menghilangkan segala titik hitam yang bertapak di permukaan hatinya.Cahaya yang akan membaca cinta ini kepada CINTA.

Dengan penuh yakin,dia mengoyak kertas yang ditulisnya tadi. Dia yakin,jika dia menulis surat balas,syaitan akan mencelah dan mengambil peluang lagi ke atasnya. Biarlah surat ini bergantung sebegini supaya dapat disambung di akhirat nanti.

Monday, December 12, 2011

Simbol "peace yg biasa kita buat dalam/semasa ambil gambar


Assalamualaikum kepada ummat islam,

Sila perhatikan isyarat jari seperti gambar diatas.Mungkin anda pernah melihatnya dan ikut melakukannya terutama ketika bergambar.Ya,itu adalah simbol 'PEACE/KEAMANAN' seperti yang digembar gemburkan diseluruh dunia.Kita biasa melakukannya sebagai isyarat spontan terutama ketika bergambar.Tetapi berhati-hatilah,kerana ada sesuatu maksud terhadap 'simbolik' pada perbuatan tersebut ('V').Sekiranya anda belum mengetahui,sila ambil tahu sekarang.



Simbol ini berasal dari simbol syaitan yang diamalkan semasa upacara keagamaan Yahudi. Simbol ini telah digunakan oleh Yasser Arafat (Bekas Presiden Palestin), Richard Nixon (Bekas Presiden amerika) dan Winston Churchil (Bekas Presiden Amerika).

Lambang kedamaian pada tangan sebenarnya simbol gerakan Illuminati.Tanda “v” mempunyai pelbagai sejarah. V (tanda tangan) adalah tanda huruf Roman yang bermaksud nombor 5 dan Adam Weishaupt menggunakan simbol ini dalam gerakan rahsianya iaitu Illuminati (pertubuhan Yahudi). Ahli-ahli Illuminati akan menggunakan simbol ini sebagai tanda “Law of Fives” (Hukum Lima).

Di dalam tulisan Yahudi, huruf V (Van) bermaksud ‘Nail’ (Kuku). The Nail adalah salah satu tanda rahsia Syaitan yang digunakan dalam upacara penyembahan berhala. Syaitan ingin membiarkan kita tahu bahawa itu adalah tanda kegemarannya. Anton Lavey, pengasas Church of Satan (Gereja Syaitan), menggunakan simbol PEACE sebagai latar belakang mimbar upacara penyembahannya.Salah seorang penyelidik menegaskan, simbol PEACE adalah dari simbol kumpulan Yahudi yang anti Kristian (antiChrist). Mereka mengambil salib kristian dan mematahkannnya ke atas dan menerbalikkannya ke bawah. Tanda 3 palang yang menghala ke bawah membawa maksud ; Past (Palang kanan), Present (Palang tengah) dan Future (Palang kiri) 


Gambar sebelah kiri adalah simbol yang telah diubahsuai dan digunakan sekarang, gambar tengah adalah cabang asal 3 rukun gerakan syaitan atau kedamaian oleh syaitan dan gambar sebelah kanan adalah logo asal kumpulan Gereja Syaitan. Lihat gambar kecil berbentuk bunga di atas palang, ia adalah logo nazi.




Oleh itu berhati-hatilah,berpesan-pesanlah pada mereka yang belum mengetahui..krn jgnla kita membiarkan walau perkara yg sekecil ini,menjadi amalan dan budaya ummat Islam tanpa kita sedari.

Nabi Muhammad bersabda:
"“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum,
maka seseorang itu terdiri dari kalangan mereka (iaitu kaum berkenaan).

Jangan Terpedaya Dengan Cinta

Ramai yang berkata, "Cinta itu fitrah. Jadi, apa salahnya pada cinta?"

Ya. Tidak dapat dinafikan, cinta itu adalah fitrah. Fitrah, bererti sesuatu yang bersih. Fitrah bererti cinta itu sesuatu yang suci.

Namun, bagaimana sesuatu yang suci itu boleh menjadi fitnah (bencana)?
Cinta itu fitrah. Jadi, apakah pula yang cuba dimaksudkan dengan 'janganlah kalian tertipu dengan cinta'?

Bukankah fitrah itu suatu yang membawa kepada kebaikan?

Apabila fitrah menjadi fitnah
Tidak dapat kita nafikan, pada hari ini, betapa pengaruh media massa itu memberikan impak besar dalam pembentukan pemikiran masyarakat kita. Isu-isu yang diketengahkan di media massa, itulah yang akan menjadi pusat pemerhatian masyarakat.
Sekarang, apa pula kena-mengena media massa dengan cinta?

Ok, di sini saya berikan satu contoh.

Kita sedang menonton satu movie yang bertemakan cinta (yang berlambak di pasaran). Ok, apa yang difokuskan dalam cerita itu?

Mulanya, ditunjukkan bagaimana latar belakang kedua-dua watak utamanya; hero dan heroin. Berkenaan taraf kehidupan mereka, cara hidup mereka dan lain-lain. Kemudian, pengarah cerita memasukkan pula babak-babak seterusnya. Bagaimana mereka boleh terserempak, dan berkenalan. Kemudian, bagaimana perasaan 'cinta' itu tadi mula berputik. Dimulakan dengan minat, kemudian usaha-usaha yang dilakukan untuk mendapatkan pasangan tadi (daripada sebelah pihak atau kedua-dua belah pihak), dan usaha-usaha untuk mempertahankan cinta itu tadi.

'Pause'. Ok, anda sudah mula nampak apa yang cuba saya bawakan?
Kita dapat melihat kelebihan yang ada pada apa-apa media massa. Mereka boleh mengawal fokus penonton (atau pembaca).

Seperti yang kita dapat dilihat tadi, bagaimana, pengarah cerita tadi dapat mengawal pemikiran penonton tadi untuk memberikan fokus terhadap 'perjuangan' cerita, yakni 'cinta'.

Kita teruskan. . .

"Alaa, sibuk je perempuan tu!" kata seorang penonton, seakan tidak berpuas hati akan kewujudan orang 'ketiga', yang dianggap seperti perosak kepada perjuangan tadi, perjuangan cinta.
Dalam movie itu tadi, kesungguhan hero dan heroin dalam mendapatkan atau mempertahankan cinta itu turut dipamerkan. Bagaimana halangan-halangan yang muncul dalam 'perjuangan' mereka itu tadi, cuba mereka atasi satu demi satu, dan pengorbanan-perngorbanan yang dilakukan, menyebabkan cinta yang cuba dipertahankan tampak sungguh agung.

"Aisey, kacau la parent diorang ini. Jangan ganggu boleh tak?" Mungkin, ini kata-kata penonton tatkala scene parents kepada hero/heroin pula cuba menghalang cinta mereka. Em, tidak mustahil juga, kata-kata tadi turut muncul dari diri kita, mungkin bukan pada mulut, tapi pada hati, tanpa kita sedari.

Di sini, kesan 'perjuangan' cinta tadi sudah tertanam dalam minda penonton. Tanpa mereka sedari, mereka juga telah menjadi 'penyokong' kepada perjuangan cinta tersebut. 'Perjuangan-perjuangan' yang dipamerkan, walaupun terpaksa menentang kedua ibu bapa, mengorbankan komitmen hidup mereka, hanya atas nama cinta, dipandang suci. Semua itu dianggap pengorbanan-pengorbanan yang harus dipuji, atas tulusnya cinta yang wujud di antara mereka.. hero dan heroin.

Betapa 'agung'nya cinta mereka itu tadi, sehingga ianya sudah pun diangkat menjadi matlamat. Apa-apa perkara lain yang menghalangnya, baik berat maupun ringan, harus dikorbankan.

Nampak?

Inilah yang dipanggil sebagai 'ghazwul fikr' atau serangan pemikiran. Musuh-musuh Islam menggunakan pendekatan halus itu tadi untuk menyerang kita umat Islam.

Minda bawah sedar kita secara tidak langsung, mula menerima apa yang cuba dibawakan melalui cerita itu tadi; cinta itu matlamat. Percaya tak?

Hebat kan kesan 'ghazwul fikr' melalui media massa hari ini?

Movie itu hanyalah satu contoh. Banyak lagi saluran-saluran lain yang dapat digunakan, contohnya drama, novel, komik, lagu, dan sebagainya.

Lalu, itulah yang kita dapat lihat pada masyarakat kita hari ini. Gejala-gejala sosial berleluasa dengan hebatnya atas nama cinta. Cinta dipandang sebagai 'perjuangan yang agung', itulah yang kemudiannya dihidupkan dalam masyarakat kita. Bahkan, para pendakwah juga tidak terlepas daripada terkena tempias yang ada.
Kita... mungkinkah pemikiran kita juga telah berjaya di'serang' dan di'tewas'kan tanpa kita sedari?

Bagaimana fitrah itu boleh dicemari
Kita sudah arif, bahawa cinta itu memang pada hakikatnya adalah fitrah.
Namun, mengapa fitrah itu boleh pula menjadi fitnah (bencana)?

Kenapa?

Ini berpunca apabila cinta itu dijadikan matlamat utama. Menjadikan cinta sebagai sole purpose kehidupan kita. Seperti yang dapat kita lihat dari kisah yang saya ceritakan tadi.

Ya. Kita ambil air zam zam dan air coca cola sebagai analogi. Bayangkan, apa yang akan terjadi apabila secawan air zam zam tadi dicampurkan pula dengan beberapa titis air coca cola.

Pasti warnanya berubah bukan. Apatah lagi, apabila sebanyak secawan lagi air coca cola tadi dimasukkan ke dalam air zam zam. Pasti, warnanya akan berubah dengan mendadak. Kesucian air zam zam pada mulanya tadi pun sudah tidak lagi kelihatan. Yang terlihat, hanya hitam dan kekerohan.

Jadi, begitu juga dengan cinta yang wujud pada masyarakat kita tadi.

Apabila manusia meletakkan cinta sebagai matlamat utama hidup mereka, secara tidak langsung, cinta itu tadi, telah mereka campurkan dengan perkara-perkara lain. Nafsu mereka, keburukan-keburukan, maksiat-maksiat, dan sebagainya yang tidak suci (fitrah), yang kemudiannya akan mencemarkan kesucian cinta itu tadi.
Akhirnya, cinta itu yang yang pada mulanya tadi bersih itu, kini kelihatan kotor - daripada fitrah, menjadi fitnah.

Babak-babak dalam kehidupan kita
Tadi, saya ceritakan babak-babak dalam movie. Kini, saya bawakan pula babak-babak dalam kehidupan kita. Kejadian-kejadian realiti.

Ada kes, yang mana, seorang muslimah sanggup murtad demi mempertahankan cinta.

Terdapat juga kes-kes, yang mana manusia itu, sanggup membunuh diri hanya disebabkan putus cinta.
Tidak kurang juga kejadian, di mana manusia sanggup menggadaikan maruah dan harga diri mereka, hanya atas harga cinta.

Malah, yang turut menyedihkan juga terdapat peristiwa di mana para pendakwah, gugur dalam perjuangan dakwah mereka disebabkan cinta mereka tadi tidak berbalas.

Rugi bukan?

Apa puncanya?

Inilah kesannya apabila cinta itu tadi, telah kita jadikan sebagai matlamat kita. Dan perkara-perkara yang menghalang cinta pula, mungkin telah kita lihat sebagai suatu ancaman yang harus disingkirkan.

Satu cara pandang yang sudah terbiasa.

Justeru, mari sama-sama kita kembali menjernihkan cara pandang masyarakat kita terhadap 'cinta'.

Penutup: Kembali meletakkan cinta di tempatnya.
*****
Allah mengkurniakan cinta kepada manusia. Pasti ia bukan sesuatu yang hanya sia-sia, bukan?

Oleh itu, ayuh kita murnikan kembali pandangan kita terhadap cinta.

Tidaklah Allah mengkurniakan cinta itu, melainkan agar ia memudahkan kita mencapai matlamat hidup kita.

Apa matlamat hidup kita?

"Dan tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu." - [Surah Adz-Dzariyat, 51: 56]

Ya, Allah - itulah matlamat kita.
Bukan cinta.

Cinta hanyalah salah satu alat, untuk mencapai matlamat kita tadi. Dan ianya tidak lebih dari itu.

Persoalannya,
Pada hari ini, siapakah yang tinggal untuk kembali memurnikan cinta? Siapa yang akan memperjuangkan agama, meletakkan Allah sebagai matlamat utama?

Moga hati-hati kita, dalam diam menjawab, "saya".
Insha-Allah.

Sunday, December 11, 2011

Air Mata Keinsafan........


 
 Air mata keinsafan
Yang mengalir di malam sepi
Inilah dia pelembut jiwa 
Bagi mendapat kasih Ilahi

Rintihan di sepertiga malam
Dari seorang hamba yang dhaif
Kerana mengenang segala dosa
Moga mendapat keampunan dari Ilahi

Setiap kekasih Allah 
Menempuhi jalan ini
Untuk mereka memiliki kejayaan

Ayuh bersama kita susuri 
Perjalanan kekasih Allah
Agar kita tiada rugi dalam meniti hidup ini

Deraian air mata ini
Titisan yang paling berharga
Buat menyimbah api neraka
Moga selamat di titian sirat 
Syurga abadi

Hikmah Diam


Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka.
                                                                                   
Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

HIKMAH DIAM:

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Hadis-hadis Rasullulah mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

* "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah
Silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah
dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka
lebih utama baginya". (Riwayat ABU NAIM)

* "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat,
maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam".
{Riwayat BUKHARI & MUSLIM)


* *"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya".
(Riwayat AT-TARMIZI)

Madah Dari Berdiam:

* BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH, BANYAK CAKAP TIDAK SEMESTINYA
CERDIK, KERANA KECERDIKAN ITU BUAH FIKIRAN, ORANG CERDIK YANG PENDIAM
LEBIH BAIK DARI ORANG BODOH YANG BANYAK CAKAP.

* MENASIHATI ORANG YANG BERSALAH, TIDAK SALAH. YANG SALAH
MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG.

* KALAU ORANG MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, YANG SEBENARNYA
ORANG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.


ILMU


Ilmu tanpa amal adalah ibarat pokok yang tidak berbuah.

"Ilmu tanpa amal, sia-sia dan amal tanpa ilmu, gila.” (Al-Ghazali)

"Jika kita membaca kitab seratus tahun dan mengumpul seribu kitab, ia tidak menjadikan diri kita bersedia untuk mendapat rahmat Allah melainkan dengan amalan.” (Al-Ghazali)

Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit.” (Muttafaq ‘alaih)